
Kenapa Si Comel Mengiau dengan Kuat?
Pada waktu malam, terutamanya bila nak tidur pernah tak tiba-tiba terdengar bunyi kucing macam nak bergaduh? Selalunya bunyi akan berlarutan agak lama. Mesti ramai yang tertanya-tanya kenapa kucing mengiau kuat, seolah-olah nak bergaduh? Teruskan membaca untuk ketahui dengan lebih lanjut kenapa kawan-kawan Si Comel ni suka ‘sembang’ pada waktu malam.
Kenapa Si Comel Mengiau Dengan Kuat Dan Tanpa Henti?
Si Comel Lebih Aktif Pada Waktu Malam
Kucing dikenali sebagai haiwan “nokturnal”, iaitu haiwan yang aktif pada waktu malam. Mereka bermain atau bergerak pada waktu malam. Namun begitu, kucing sebenarnya adalah haiwan krepuskular yang aktif pada waktu senja dan subuh. Kucing yang lebih muda cenderung untuk lebih aktif pada waktu malam kerana naluri semula jadi mereka menganggap inilah masa terbaik untuk memburu. Namun, apabila mereka semakin matang, corak aktiviti mereka biasanya akan berubah mengikut kesesuaian rutin rumah yang mungkin boleh mengurangkan bunyi mengiau tengah malam.
Si Comel Bosan Atau Memerlukan Perhatian
Si Comel pada waktu malam mungkin rasa bosan atau tidak cukup penat pada waktu siang. Kerana itu, bermain secara aktif sebelum waktu tidur boleh membantu mereka untuk tidur pada waktu malam. Selain itu, mengiau pada waktu malam merupakan cara-cara untuk menarik perhatian. Jika kucing anda jenis duduk di dalam rumah dan tidak mempunyai akses untuk keluar rumah, pastikan anda luangkan masa untuk bermain bersama sepanjang hari. Jika tidak, mereka mungkin akan rasa tidak puas hati apabila anda masuk tidur dan ini boleh menyebabkan mereka mengiau atau “melolong” pada waktu malam.
Si Comel Mungkin Rasa Terkurung
Jika Si Comel pada asalnya adalah kucing luar atau aktif di luar rumah, ada kemungkinan besar mereka mengiau pada waktu malam kerana berasa terkurung dan tidak bebas seperti biasa. Kalau persekitaran dirasakan selamat, anda boleh pertimbangkan untuk membenarkan Si Comel keluar seketika pada waktu malam, sama ada untuk bermain atau melepaskan tenaga mereka di luar. Ini boleh membantu mengurangkan rasa gelisah dan mengiau yang berpanjangan.
Langkah Untuk Mengurangkan Bunyi Meow Pada Waktu Malam
Pastikan Si Comel kekal aktif pada waktu siang dan petang untuk menggalakkan mereka bermain, sama ada di dalam atau di luar rumah. Setelah penat bermain, pastikan waktu makan teratur dengan hidangan yang berkhasiat dan tinggi protein, seperti makanan kering AlleyCat yang mengandungi 30% protein untuk membantu mereka rasa kenyang dan aktif bermain.
Apabila waktu aktif mereka mula dijadikan rutin harian, kitaran tidur Si Comel akan menjadi lebih teratur. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tabiat mengiau pada waktu malam, kerana mereka sudah cukup letih dan bersedia untuk berehat.
Kita mestilah memahami rutin aktiviti dan kehidupan harian Si Comel demi kesejahteraan mereka dan juga diri kita sendiri. Walaupun rutin Si Comel mungkin berbeza daripada kita, perhatian dan kasih sayang tetap perlu diberikan agar mereka rasa dihargai, selamat dan gembira berada di sisi kita setiap hari.