
Apa perlu buat kalau kucing anda obes?
Ramai orang suka kucing yang gebu dan agak berisi sebab kecomelan mereka. Tapi obesiti bahaya untuk mereka kerana mengancam kesihatan mereka dan menjadikan mereka untuk susah bergerak dan susah untuk bernafas. Berat badan berlebihan boleh dikategorikan apabila beratnya melebihi sekitar 15-20% daripada berat badan yang sepatutnya.
Kenapa Si Comel boleh berlebihan berat badan?
Kucing kesayangan anda boleh menjadi obes atau mempunyai berat badan berlebihan apabila mereka mengambil lebih banyak kalori daripada yang diperlukan. Oleh itu, panduan pemakanan untuk Si Comel amat penting bagi mengelakkan masalah obesiti yang boleh menyebabkan mereka sukar bergerak dan menjadi kurang aktif.
Sel lemak dalam badan kucing boleh menjadi lebih besar atau lebih kecil bergantung kepada jumlah lemak yang disimpan dalam sel tersebut. Disebabkan itu, kucing yang mengalami berat badan berlebihan semasa masih anak kucing lagi cenderung untuk menghadapi kesukaran dalam mengekalkan atau menurunkan berat badan apabila dewasa dan lebih berisiko untuk menjadi obes. Oleh itu, penting untuk kita mencegah obesiti Si Comel sejak dari usia awal lagi.
Cara-cara kenalpasti kucing anda mengalami berat badan berlebihan:
Untuk haiwan peliharaan seperti kucing, kita menggunakan sistem yang dikenali sebagai Body Condition Score (BCS) untuk mengetahui bentuk badan yang ideal. Konsepnya hampir sama seperti Indeks Jisim Badan (BMI) bagi manusia. BCS merupakan satu penilaian subjektif yang digunakan untuk mengetahui tahap berat badan haiwan.
Terdapat dua gred utama dalam BCS iaitu BCS 5 mewakili berat badan ideal, manakala BCS 9 menunjukkan tahap obesiti.
Cara mudah untuk menggunakan Skor BCS:
- Skor 1–3: Terlalu kurus
Tulang mudah kelihatan dan hampir tiada lapisan lemak di badan.
- Skor 4–5: Ideal
Tulang rusuk boleh dirasa dan tidak terlalu banyak lemak, bentuk pinggang jelas kelihatan dari atas, dan terdapat lekukan di bahagian perut dari sisi.
- Skor 6–9: Berlebihan berat badan / Obes
Tulang rusuk sukar dirasa kerana dilitupi lemak berlebihan, pinggang tidak kelihatan atau kabur dan lekukan perut berkurangan atau tiada langsung.
Masalah yang Si Comel akan hadapi jika mengalami obesiti
Antara risiko obesiti pada kucing termasuklah jangkitan kulit, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, sistem imun yang lemah, diabetes serta beberapa jenis kanser. Kucing yang mempunyai berat badan berlebihan juga sering terdedah kepada penyakit hati berlemak (hepatic lipidosis) dan masalah saluran kencing. Risiko semasa pembedahan dan penggunaan bius juga akan meningkat.
Selain itu, apabila berat badan mereka berlebihan, mereka cenderung menjadi kurang aktif untuk bermain dan sukar untuk bergerak seperti melompat atau berlari. Mereka lebih suka baring dan tidur sepanjang hari. Bulu mereka juga kelihatan tidak terurus dan kusut kerana kurangnya penjagaan diri. Tidak dilupakan juga, sistem kardiovaskular dan pernafasan turut terjejas, yang boleh menyebabkan sesak nafas dan masalah jantung.
Apakah tips untuk menurunkan berat badan Si Comel?
Untuk penurunan berat badan yang berkesan, boleh mulakan dengan meningkatkan tahap aktiviti fizikal kucing. Contohnya, meluangkan masa untuk bermain bersama mereka atau berjalan-jalan di luar rumah menggalakkan lebih banyak pergerakan. Selain itu, menyemak semula kekerapan pemberian makanan serta jenis makanan yang diberikan. Pastikan makanan tersebut sesuai dengan keperluan nutrisi seperti AlleyCat yang mengandungi 30% protein dalam makanan kering dan 12% protein dalam makanan basah yang menawarkan tiga perisa berbeza dan gaya hidup kucing anda. Akhir sekali, mengawal atau mengehadkan jumlah kalori yang diambil setiap hari agar seimbang dengan tahap aktiviti mereka. Pendekatan ini boleh membantu mengekalkan berat badan yang sihat secara sihat dan selamat.